Tiga Lelaki Menyamar Polis Ditahan Selepas Cuba Samun Remaja
KUALA LUMPUR, 22 Sept – Tiga lelaki ditahan polis awal pagi tadi selepas dipercayai terlibat dalam kejadian samun dengan menggunakan pistol tiruan sambil menyamar sebagai anggota polis. Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Hoo Chang Hook, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 pagi apabila pasukan rondaan bermotosikal dari Balai Polis Pantai ternampak empat lelaki dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kampung Pasir, Pantai Dalam. Siasatan awal mendapati suspek telah mengugut seorang remaja berusia 17 tahun dengan mengacukan sepucuk pistol dan merampas telefon bimbit, dompet serta kad pengenalan mangsa. Cubaan mereka untuk melarikan diri dengan motosikal bagaimanapun gagal apabila anggota polis bertindak pantas menahan ketiga-tiga suspek. Polis turut merampas pistol berbentuk pemetik api serta beberapa barangan peribadi milik mangsa.