MUFTI PERLIS SELAR PEGAWAI TINGGI KERAJAAN TIADA ADAB DAN LEMAH BAHASA MELAYU


MUFTI Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin membidas kenyataan beberapa pihak yang dilihat cuba membenarkan ‘tarian undang-undang’ membabitkan beberapa tokoh perundangan negara menerusi sebuah rakaman video yang tular baru-baru ini.

Beliau menegaskan, tindakan tokoh terbabit dilihat jelas tidak mencontohi ciri warganegara Malaysia mempunyai budaya dan adab yang tinggi.

“Untuk jadi orang penting dalam pentadbiran kerajaan Malaysia, hendaklah mempunyai ciri-ciri keMalaysiaan.

“Antaranya, tahu latar sejarah negara, boleh berbahasa Melayu, faham adat dan budaya rakyat negara ini.

“Jika bahasa Melayu pun lemah, ditambah pula adat, kesopanan dan budaya utama dalam negara pun gagal difahami, maka bagaimanakah individu seperti itu menduduki jawatan penting dalam perundangan sebuah negara yang bernama Malaysia?” katanya menerusi status laman sosial Facebook hari ini.

Sebelum ini, tular rakaman video yang memperlihatkan beberapa tokoh perundangan dan politik menari dalam satu majlis yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah, awal bulan lalu.

Penularan rakaman video terbabit mengundang pelbagai reaksi netizen sehingga Mohd Asri dalam satu kenyataannya semalam meminta individu terbabit mengawal adab ketika di khalayak umum.

Dalam kenyataannya semalam, beliau turut meminta supaya individu berjawatan dalam negara perlu bijak mengawal diri kerana kedudukan mereka yang tidak wajar dikatakan liar dalam kehidupan.

Bagaimanapun, Presiden Pertubuhan Undang-Undang Sabah (SLS), Brenndon Soh berkata, majlis terbabit hanya dihadiri pemegang taruh pertubuhan undang-undang seperti anggota badan kehakiman, Pejabat Peguam Negara dan pengamal undang-undang lain selain meminta awam dapat membezakan antara kerjaya profesional dan kehidupan peribadi individu.

SUMBER : HARIAN METRO


Ulasan

Catatan Popular