BEKAS KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF PERBADANAN SUNGAI DAN PANTAI DIREMAN SPRM


19 FEB 2019, Melaka - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) dan timbalannya direman lima hari bermula hari ini, susulan kes suapan membabitkan projek bernilai RM3 juta, tiga tahun lalu. 

Turut direman adalah seorang Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat pembuatan kapal. Perintah tahanan reman ketiga-tiganya yang berusia 37, 50 dan 56 tahun dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, Teoh Shu Yee. 


Semalam SPRM menahan mereka dan isteri bekas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM berusia 31 tahun di Melaka Tengah serta menyita sebuah Range Rover serta pelbagai jam tangan mewah. 


Bagaimanapun, permohonan reman terhadap wanita berkenaan ditolak mahkamah, manakala semua suspek diwakili peguam Amritpal Singh. Difahamkan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM dan timbalannya disyaki menerima suapan daripada beberapa syarikat kontraktor yang beroperasi sekitar Melaka sebagai balasan kerana memberikan projek serta tender di perbadanan itu sejak 2016. 


Ketiga-tiganya diperlukan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun penjara dan denda lima kali ganda dari nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


Ulasan