PENGURUS KANAN KEWANGAN PASDEC DITAHAN SPRM


KUANTAN, 31 Jan 2019 - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini  menahan pengurus kanan kewangan syarikat pelaburan hartanah terkemuka di negeri ini, bagi membantu siasatan kes pecah amanah berjumlah RM320,000.  


Pengarah SPRM Pahang, Mohamad Fauzi Husin berkata suspek yang berusia 50 tahun itu ditahan di pejabat SPRM negeri pada 4 petang tadi.  “Suspek dipercayai melakukan kesalahan itu yang melibatkan wang hasil kerja-kerja tanah milik syarikat antara Ogos 2014 dan Mac 2016.  

“Dia dipercayai memasukkan wang itu ke dalam akaunnya tanpa pengetahuan dan kelulusan ahli lembaga pengarah syarikat serta melanggar had kuasa ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mohamad Fauzi berkata suspek pada awalnya disiasat atas dakwaan menerima rasuah sebagai balasan memudahkan urusan berkaitan dengan kerja mengambil dan mengeluarkan tanah di kawasan milik syarikat berkenaan.  

Bagaimanapun, siasatan lanjut yang bermula sejak beberapa bulan lalu mendapati suspek telah melakukan kesalahan pecah amanah melibatkan wang diterimanya. Mohamad Fauzi berkata suspek dijangka dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat. -- BERNAMA  


Ulasan