KEMENANGAN MOHAMAD HASAN TERBATAL PRK DUN RANTAU MENYUSUL


18 FEB 2019, Putrajaya – Datuk Seri Mohamad Hasan gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan hari ini untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan kemenangan beliau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu sebagai tidak sah dan terbatal. 

Keputusan itu bermakna beliau gagal dalam mempertahankan kerusi yang dimenangi tanpa bertanding semasa Penamaan Calon PRU14 pada 28 April 2018, sekaligus menyaksikan Pilihan Raya Kecil akan diadakan dalam tempoh 60 hari di kawasan tersebut. 

Panel lima hakim yang diketuai Tan Sri Richard Malanjum mengumumkan keputusan itu pada pukul 1.20 tengah hari. Hujah bagi rayuan Timbalan Presiden UMNO itu bermula pukul 11.50 pagi melibatkan peguam pempetisyen Dr. S. Streram yang diwakili Muhammad Haniff Khatri manakala barisan peguam Mohammad diketuai Datuk Hafarizam Harun. 


Mohamad yang dikerumuni wartawan kelihatan sugul memberitahu, beliau menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan itu. “Saya sudah lama bersedia untuk menghadapi PRK (Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau), jadi saya menerima keputusan rayuan ini dengan hati terbuka, kita menghormati proses undang-undang,” katanya di luar Bilik Bicara 1 Istana Kehakiman di sini hari ini. 

Ditanya sama ada beliau menjangkakan keputusan itu, Naib Pengerusi BN itu menjelaskan, ia adalah keputusan yang tidak dijangkakan langsung. “Saya tak dapat jangka keputusan ini dan tak dapat membaca fikiran orang. 

“Pihak peguam mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merayu dan pihak saya berhujah dengan baik sekali. “Kedua-dua pihak berhujah dan yang Arif Mahkamah Persekutuan memutuskan Pilihan Raya Kecil perlu diadakan semula,” ujarnya. 


Menurut Mohamad, beliau sudah bersedia untuk berdepan senario selepas ini. ‘Saya perlu bersedia menunggu keputusan SPR bilakah akan diadakan dan penamaan calon di Rantau. “Saya rasa tidak lama lagi.. InsyaAllah (pertahan Rantau),” tambah beliau. 

Pada 23 Mei lalu, Streram memfailkan petisyen di Mahkamah Seremban bagi memohon kemenangan Mohamad di Rantau sebagai tidak sah dan terbatal. Pada 16 November lalu, Mahkamah Seremban telah memutuskan kemenangan Mohamad itu sebagai tidak sah dan terbatal sebelum mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil di kawasan tersebut dalam tempoh 60 hari. 

Berikutan keputusan tersebut, Mohamad mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan untuk mengenepikan keputusan itu.

MALAYSIA GAZZETE  

Ulasan

Catatan Popular