LELAKI TUA HINA NABI DIBEBASKAN DENGAN JAMINAN POLIS
22 FEB 2019 - LELAKI yang ditahan kerana menghina Nabi Muhammad SAW menerusi Facebook, Rabu lalu, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Difahamkan lelaki berusia 68 tahun itu dibebaskan sebaik tempoh reman tiga hari dikenakan terhadapnya tamat hari ini.
Perkara itu disahkan Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Urusetia Ketua Polis Negara (KPN) Datuk Asmawati Ahmad ketika dihubungi, hari ini.
“Lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis pada jam 11 pagi tadi,” katanya.
Terdahulu, suspek terbabit ditahan di rumahnya di Mentakab, Temerloh, Pahang, Selasa lalu.
Suspek direman selama tiga hari bermula 20 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.
Pada 18 Februari lalu, dia memuat naik gambar karikatur berunsur penghinaan ke atas Nabi Muhammad SAW dan isteri, Saidatina Aisyah sebelum tular di media sosial.
Gambar itu ditulis dengan perkataan Muhammad pada lelaki dewasa dan kanak-kanak berusia enam tahun sebagai Aisyah.
Penularan status berkenaan mengundang kemarahan dan rasa tidak senang umat Islam.
HARIAN METRO
Ulasan
Catat Ulasan