KELEBIHAN MEMBERI PINJAMAN TANPA RIBA
Memberi pinjaman ikhlas tanpa mengenakan riba, dan tanpa mengharapkan apa-apa balasan daripada manusia menjanjikan pahala ganjaran yang berlipat kali ganda daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Firman Allah:
مَنْ ذَا الَّذِي يُقْرِضُ اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا فَيُضَاعِفَهُ لَهُ أَضْعَافًا كَثِيرَةً
"Siapakah yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipat gandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya"
[Surah Al-Baqarah, 245]
Kata Imam Al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya:
"Tiada sesiapa yang mengetahui berapa banyak lipatan ganda (pahalanya) kecuali Allah."
Dalam hadis, Nabi sallalahu alaihi wassalam bersabda:
إِنَّ السَّلَفَ يَجْرِي مَجْرَى شَطْرِ الصَّدَقَةِ
"Pinjaman itu sama seperti dengan setengah daripada sedekah"
[Hadis sahih. Riwayat Imam Ahmad.]
Yakni pahalanya setengah pahala bersedekah.
Ini bererti bahawa sekiranya seseorang itu memberi pinjaman tanpa riba sebanyak RM100, maka seolah-olah dia telah bersedekah sebanyak RM50. Pinjaman RM1000 adalah seperti bersedekah RM500. Dan begitulah seterusnya.
Demikian besarnya ganjaran memberi pinjaman kerana mengharapkan imbuhan akhirat (pahala), berbanding imbuhan dunia (riba).
Wallahul musta'an.
Ustaz Abu Omar Idris Sulaiman
Ulasan
Catat Ulasan